Followers

Saturday, May 16, 2009

Tugas Utama Umno Kini Ubati Hati Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Tugas utama Umno dalam senario politik negara kini adalah "mengubati hati" orang Melayu agar kepercayaan mereka terhadap parti itu kembali pulih.

Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd Datuk A. Kadir Jasin berkata jika ia tidak terubat, Umno tidak mungkin boleh kembali kepada keadaan asal dan disokong orang Melayu, malah untuk kekal di tahap sekarang mungkin menjadi lebih sukar.

"Umno hari ini dilihat melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati rakyat Malaysia bukannya orang Melayu. Hakikatnya bila Umno kuat dengan sokongan orang Melayu, orang bukan Melayu akan sokong kita," katanya yang juga seorang blogger terkenal.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Umno bertajuk "Trend Pilihan Raya Kecil" yang dipengerusikan oleh Datuk Shahaniza Shamsuddin di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Jumaat malam.

Anggota panel lain ialah ahli akademik dan juga penganalisis politik Prof Datuk Zainal Kling dan Penasihat Undang-undang Umno Datuk Hafarizam Harun.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Kadir berkata Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang bakal berlangsung 31 Mei depan.

"Segala cakap-cakap mengenai Umno tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap Umno dan merosakkan kedudukan Umno... jadi pilihan raya kecil atau besar Umno kena juga bertanding," katanya.

Prof Zainal ketika mengetengahkan pendapatnya pula berkata kepimpinan Umno di semua peringkat perlu berani mempertahankan ideologinya sendiri dan berani menepis segala dakyah pembangkang melalui media arus perdana termasuk juga media alternatif.

"Bertahun lamanya pembangkang menuduh bahawa sebarang kegiatan yang membina dan membela Melayu itu sebagai "racism", tetapi tidak ada seorang pun di antara orang Umno yang berani menjawab tuduhan itu.

"Umno juga perlu menguasai ilmu komunikasi kerana setiap saat pembangkang akan menghentam kita di dalam semua saluran, dan akhirnya Umno jadi "defensive". Sebab itu corak politik yang terlalu "ethical" yang dipraktikkan Umno sudah tidak relevan lagi sekarang," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment