Followers

Tuesday, February 28, 2017

Orang Cina tanpa Umno


Umno bendera




TIDAK dinafikan bahawa Umno menjadi tonggak dalam menuntut kemerdekaan daripada British agar menyerahkan semula kuasa pentadbiran kerajaan kepada rakyat. Tetapi ini adalah berlainan sekali dengan orang bukan Melayu khususnya Cina. Pada awal kemerdekaan orang-orang Cina bersetuju dengan syarat kewarganegaraan yang ditukar dengan hak istimewa orang Melayu. Apabila negara ini mencapai kemerdekaan, syarat persetujuan tersebut menjadi duri dalam daging kepada Umno.

Pertikaian mengenai hak istimewa orang Melayu pada awal tahun 60-an selepas merdeka masih berada dalam kawalan. Ini disebabkan terdapat persetujuan bersama dalam penguasaan bidang. Orang Melayu dibenarkan menguasai kerajaan sementara orang Cina diberikan hak penguasaan dalam perdagangan dan perekonomian. Malahan sistem sekolah vernakular masih diteruskan dengan dua cabang berlainan oleh kerajaan. Satu adalah menggunakan sistem sekolah kebangsaan dengan keutamaan bahasa kebangsaan, manakala satu lagi menggunakan sekolah jenis kebangsaan iaitu keutamaan ke atas bahasa Cina dan Tamil.

Menjelang pertengahan 60-an, pertikaian dan ketegangan mulai kedengaran. Menurut Ooi Kee Beng (2015), Lim Kit Siang dalam satu kempen Pilihan Raya Umum 1964 mengatakan MCA tidak serius memperjuangkan bahasa Cina untuk diberikan hak yang sama rata dengan bahasa kebangsaan. Malahan Lim Kit Siang mengatakan Parti Perikatan yang diketuai Umno melaksanakan dasar perkauman dalam bidang pendidikan. Kit Siang mengatakan Umno mengutamakan pendidikan kaum Bumiputera, khususnya pengajian tinggi. Ini menyebabkan orang bukan Melayu khususnya, ditindas dan tidak diberikan hak yang sewajarnya sebagai warganegara Malaysia. Beliau mempertikaikan konsep Bumiputraisme yang digunakan Umno sebenarnya memecah-belahkan masyarakat Malaysia kepada dua kelompok kelas warganegara. Bumiputraisme sebenarnya tidak patut diasaskan kerana seperti mana dalam perjanjian kemerdekaan negara cuma menyatakan bantuan hak istimewa Melayu hanya diberikan kepada mereka yang memerlukan dan bukan semua orang Melayu.

Bagi penyelesaian permasalahan ini, kerajaan pimpinan Tunku telah melonggarkan kemasukan pelajar-pelajar dari aliran Cina ke pengajian tinggi awam. Ini disebabkan Laporan Rahman Talib telah melonggarkan pengiktirafan ke atas bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang menyebabkan kedua-dua aliran tersebut mendapat bantuan kerajaan. Walaupun begitu, kerajaan pimpinan Tunku masih membenarkan aliran sekolah jenis kebangsaan berfungsi secara bersendirian tanpa mencampuri urusan silibus pendidikannya.

DAP juga mempertikaikan hasrat MCA untuk menubuhkan Universiti Nanyang jika bahasa Cina pun tidak mampu dipertahankan apatah lagi pendidikan Cina. Ini boleh dilihat dengan kenyataan Tun Tan Siew Sin yang tidak lagi mahu menuntut bahasa Cina diiktiraf sebagai bahasa pengantar pada tahun 1959. Tun Tan Siew Sin yang lebih mementingkan pendidikan orang Cina daripada pendidikan bahasa Cina telah dikecam DAP. Ini menyebabkan DAP tidak sesekali bergabung masuk ke dalam Barisan Nasional (BN). Malahan DAP telah mengambil pendekatan untuk menentang Umno yang dianggap mengamalkan demokrasi rasis.
Walaupun begitu, Umno di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir telah meluluskan kemasukan pelajar-pelajar bukan Melayu khususnya pelajar-pelajar Cina ke universiti awam berdasarkan merit. Kelonggaran turut diberikan kepada pelajar-pelajar aliran jenis kebangsaan untuk memasuki universiti awam bagi kursus-kursus Bahasa Mandarin dan Tamil.

Hubungan yang rapat antara MCA, Gerakan dan Umno sebenarnya membuahkan hasil yang menguntungkan etnik Cina. Antaranya penubuhan dan pengiktirafan Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR). TAR ditubuhkan sebagai satu alternatif bagi generasi muda etnik Cina untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Malahan, semasa tahun 90-an, MCA telah berjaya mendapatkan hak perekonomian dan pendidikan yang lebih luas. Hal ini dibuktikan dengan hubungan negara China melalui Dasar Pandang Ke Timur telah menyebabkan ramai usahawan Cina menjadi jutawan segera. Melalui fasa kedua Dasar Pandang Ke Timur dengan China oleh Datuk Seri Najib telah melakar satu perkembangan positif dalam keusahawanan komuniti Cina Malaysia dan memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Semakin kuat desakan Cina ke atas Umno, semakin banyak pemberian Umno tanpa disedari orang Cina. Mahu tidak mahu, sememangnya orang Cina memerlukan Umno bukan sahaja orang Melayu, khususnya dalam bidang pendidikan, perdagangan dan perekonomian.

DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH

Sunday, February 26, 2017

Skandal hartanah Johor: Suspek disyaki tukar status rumah bumiputera

Menurut sumber, modus operandi pemaju ialah menyorokkan hampir 30% kuota disediakan untuk pembeli bumiputera daripada senarai dengan mendaftarkan nama pekerja berstatus bumiputera.


tukar-nama-bumiputera

KUALA LUMPUR: Enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor yang ditahan semalam kerana disyaki terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu, dipercayai terbabit dalam penukaran status rumah bumiputera kepada bukan bumiputera.
Menurut sumber, aktiviti penukaran status itu dipercayai dibuat sejak 2013 yang melibatkan beberapa pemaju di Johor sehingga menyebabkan mereka yang layak mendapat rumah status bumiputera tidak mampu membeli rumah.
“Penukaran status itu dilakukan kerana apabila rumah-rumah berstatus bumiputera ditukar kepada bukan bumiputera, harga sesebuah rumah itu akan meningkat beberapa kali ganda daripada harga asal.
“Ini sekaligus akan menguntungkan pihak pemaju dan mereka yang terlibat dalam aktiviti itu, tetapi yang terseksa adalah masyarakat yang ingin memiliki rumah sendiri,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sumber berkata, apabila penukaran status diluluskan dan dilaksanakan, mereka yang berstatus bumiputera dan masyarakat berpendapatan rendah tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Menurut sumber, modus operandi pemaju terbabit adalah menyorokkan hampir 30% kuota disediakan untuk pembeli bumiputera daripada senarai dengan mendaftarkan nama pekerja mereka yang mempunyai status bumiputera.
Katanya, pemaju akan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menukar rumah berstatus bumiputera kepada bukan bumiputera dengan alasan rumah itu tidak berjaya dijual.
“Walhal apabila ditanya pembeli, pemaju akan memberi alasan rumah-rumah berstatus bumiputera sudah habis dijual.
“Menerusi maklumat yang dikumpul setakat ini, pemaju akan dikenakan denda pada kadar tertentu dan (wang denda) sepatutnya dimasukkan ke dalam satu tabung khusus yang diwujudkan untuk digunakan bagi tujuan membiayai kemudahan di kawasan perumahan,” katanya.
Sumber itu berkata, hanya sebahagian daripada keseluruhan jumlah wang denda itu dimasukkan ke dalam tabung khusus itu, manakala bakinya disyaki diseleweng.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Barnama mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kewujudan penipuan dalam penukaran status bumiputera kepada bukan bumiputera.
“Ketika ini, SPRM masih dalam proses menggeledah pejabat suspek untuk mendapatkan dokumen-dokumen bagi membantu pasukan siasatan mengumpul lebih banyak maklumat berhubung penipuan tersebut.
“Saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap berhubung siasatan kes ini,” katanya.
Semalam, dalam satu operasi serentak, SPRM menahan 6 lelaki berusia 25 hingga 50 tahun di beberapa lokasi di Johor Bahru. Turut ditahan ialah 2 pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal itu.
SPRM turut merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen dipercayai dapat membantu siasatan.
Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik semua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan......BERNAMA

Titah Sultan Johor terhadap ahli politik luar wajar

Mohamed Khaled Nordin

ISKANDAR PUTERI - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan terdapat kewajaran di sebalik peringatan tegas Sultan Johor terhadap ahli politik luar supaya jangan mencampuri urusan dalaman sehingga boleh mengelirukan dan memecah-belahkan rakyat negeri itu.

Katanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sedemikian kerana menyedari  ada orang luar cuba mengambil kesempatan dalam keadaan negara bakal menghadapi pilihan raya umum.
Menurutnya, ramai akan membawa perkara-perkara dan isu tertentu yang sebenar bukan hendak menyelesaikan masalah tetapi mengelirukan rakyat.

"Kalau katakanlah tiada pilihan raya, tidak mungkin semua perkara ini dibangkitkan...sebab itu Tuanku bertitah sedemikian," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Ibrahim Khamis lepas, yang mengingatkan bahawa tidak perlu untuk orang luar berlagak pandai atau mengajar apa yang patut dibuat untuk kesejahteraan negeri ini memandangkan rakyatnya telah menikmati hidup yang selesa, aman dan damai.

Dalam titah baginda pada majlis perasmian Galeri Darurat Bukit Kepong, Muar, dekat sini, Sultan Johor turut meminta rakyat Johor agar tidak terpengaruh dengan tipu helah orang luar yang cuba menakut-nakutkan mereka dengan cerita dongeng. –Bernama

Saturday, February 25, 2017

SPRM tangkap 6 individu terlibat skandal rasuah hartanah di Johor

rasuah

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menangkap 6 individu dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor.
Keenam-enam suspek berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan SPRM kira-kira 8.30 pagi semalam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, mereka yang ditangkap merupakan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan Johor, 2 orang pemaju, 1 peguam, dan 1 orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal itu.
“Menerusi maklumat awal yang diperolehi, kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di Johor.
“Kegiatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil pendapatan kerajaan Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Azam berkata, dalam operasi berkenaan, SPRM juga merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.
www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/02/25/sprm-tangkap-6-individu-terlibat-skandal-rasuah-hartanah-di-johor/

Luahan Hati Melayu Singapura

komi

Muslim Cyber Army – PELAJARAN BUAT SELURUH RAKYAT MALAYSIA : Artikel kiriman pembaca ini boleh ditafsir dari berbagai sudut mengikut tahap pemikiran dan haluan politik pembaca. Ia dikongsikan sebagai mengulas ucapan PM Singapura menjelang Pilihanraya Umum negara Singa itu yang tersiar baru-baru ini. Kami tidak berminat mengulas apa yang berkaitan dengan scenario politik Malaysia walaupun isi penulisan ini kelihatan ada kaitannya.
□ Sebenarnya apa yang diluahkan oleh rakyat Singapura ini sememangnya ‘berdetik’ di hati kami sewaktu menonton video itu. Terasa kasihan juga melihat wajah-wajah ‘MELAYU SINGAPURA’ yang sedang ‘digula-gulakan’. Sama sahaja situasinya dengan ragam ‘gula-gula’ pilihanraya di negara kita atau di mana sahaja di dunia ini. Tetapi situasi di Singapura ini kelihatan lebih menyedihkan.
□ Kami padankan isi surat ini dengan luahan hati beberapa rakyat Melayu Islam Singapura yang merasa amat tertekan lalu memohon kerakyatan Malaysia. Ada lebih 60,000 orang Melayu Singapura memohon kerakyatan Malaysia katanya. Perbualan dengan rakyat Singapura itu amat panjang dan ada rakaman videonya.
□ Kemudian kami tanyakan pula dengan beberapa warga Johor yang ‘biasa’ dengan situasi ini, samada kerana mereka bekerja di sana atau mempunyai ramai sanak saudara di Singapura.
#Noted : Walau siapapun kita, mari sama-sama kita nilai dan pertimbangkan betul salahnya. Bersyukur kita menjadi Rakyat Malaysia. Mari sama-sama kita renung dan cari jalan untuk menjadikan Malaysia lebih makmur dan aman selepas ini.
□ Selama ini Singapore tidak galakkan sesiapa cakap bahasa lain kacuali bahasa IBUNDA SINGAPORE iaitu bahasa INGGERIS. Tahun ini orang Melayu Singapore pun terperanjat dan ‘confused’.
□ Untuk pengetahuan semua, Singapore mahu cuba tarik pengundi Melayu dalam pilihanraya akan datang ini. Ramai Melayu dan anak2 muda di sana telah mengundi pembangkang.
□ Yang PM Lee kata pasal 2 orang PILOT, itulah saja pilot Melayu yang mereka ada di RSAF. Selama ini RSAF tidak boleh ambil pilot Melayu. Melayu hanya boleh jadi tukang masak, maintenance atau pencuci kapal terbang sahaja. Army dalam ‘Special Force’ pun Melayu tidak boleh masuk.
□ Kenapa saya boleh kata begitu? Saya berkerja di NATIONAL SAFETY COUNCIL OF SINGAPORE selama 6 tahun. Kami yang menjaga semua urusan Singapore Security Forces termasuklah, Army, RSAF, Polis, JPJ dan Traffic Police.
□ Pasal masjid, Mendaki etc, yang disebut oleh PM Lee, ingin saya beritahu semua bahawa SEMUA warga Melayu/Islam Singapura di WAJIBkan menyumbang dengan potongan gaji setiap bulan ke tabung Mendaki, Masjid etc. Jadi, semua pembinaan atau jagaan masjid di tanggung oleh orang Melayu / Islam sendiri.
□ Orang sering cakap Singapore negara terkaya di dunia. Jawapannya Singapore di’control’ oleh PAP. Bahasa mudah bagi kami rakyat Singapore, PAP bermaksud, “PAY AND PAY”.
□ Mana ada government clinic atau hospital lagi. Semua telah di‘privatise’kan. Warga Singapore WAJIB ada Insuran Medisave dan Medishield sebelum masuk hospital. Dah pergi check doktor, dapat prescription ubat, kena pergi beli sendiri ubat2 itu di farmasi.
□ Semua pekerja kena potong gaji setiap bulan untuk biaya rawatan. Bagi orang tua-tua yang tidak mampu, anak-anak kena tanggung bayar. Kalau tidak, sakit sampai mati pun mereka tidak perduli.
□ Berbeza di Malaysia. Pergi klinik kerajaan hanya bayar RM1 dan SEMUA TANGGUNG BERES.
□ ‘Carpark’ di HDB (rumah mampu milik), rumah kerajaan, bayaran bulanannya sekarang ialah S$120 untuk open space atau $180 untuk ‘multi story carpark’. Duit tong sampah wajib bayar ikut saiz rumah setiap bulan. Belum lagi bil api, air, cable vision, cukai pintu dan cukai tahunan. Rumah flat lama yang mahu di perbaharui harus ditanggung sendiri oleh rakyat.
□ CPF hanya boleh dikeluarkan 10% sahaja bila genap usia 65. Setiap orang mesti ada duit simpanan dalam CPF kerana kerajaan tidak mahu tanggung orang Singapore. Setiap bulan pula hanya boleh keluarkan $280-$450 sahaja bergantung berapa banyak kita ada simpanan dalam akaun CPF itu.
□ Untuk beli kereta kena beli COE (Certificate of Entitlement). Selepas 1 tahun, WAJIB pergi inspection untuk baharui roadtax. Singapore tidak boleh ada kereta buruk atas jalanraya. Sebelum 10 tahun kereta mesti dijual. Kalau tidak, selepas 10 tahun ia hanya laku $2,000 sebagai besi buruk saja kerana sudah dianggap tidak harga jualan lagi. Kalau mahu maintain pula kena bayar tambahan road tax 50% lebih tinggi.
□ Ketika saya tinggal di Singapore (sebelum 1997), road tax 1000cc ialah $1300 setahun dan insurance premium $1300. Jumlahnya $2600 setahun untuk 1000cc. Road tax tinggi kerana rakyat dipaksa membiayai ‘maintenance’ jalanraya sendiri.
□ Pernah ke orang Malaysia terfikir, apabila membeli rumah HDB di Singapore, semua yuran guaman harus dibayar kepada “Lee & Lee Associate”, iaitu Syarikat PM Lee dan family. Dari zaman bapanya Lee Kuan Yew hingga ke hari ini. Kalau S&P dan legal dibayar atas syarikat Perdana Menteri Malaysia, tentu teruk PM Malaysia kena belasah dengan pembangkang.
□ Sekarang PAP nak pengaruhi rakyat Malaysia pula. Mereka mahu beritahu jika DAP menjadi Kerajaan baru di Malaysia, DAP juga mampu ubah Malaysia menjadi seperti Singapura. Di Gelang Patah, Johor, PAP lah yang membantu DAP Lim Kit Siang untuk menang.
□ Kenapa saya cakap begitu? Kerana sebagai pekerja kerajaan di Singapore, saya diwajibkan masuk PAP, dan saya juga terlibat dalam politik PAP. Atas sebab keahlian PAP jugalah saya boleh bekerja di National Safety Council of Singapore.
https://aidcnews.wordpress.com/2017/02/24/luahan-hati-melayu-singapura/

Akhirnya Mahathir Bertemu Buku Dengan Ruas Pada Najib


Mahathir mengambil masa kurang daripada tiga tahun untuk menjatuhkan Pak Lah.

Najib pula masih belum dapat ditumbangkan setelah tiga tahun. Oleh sebab itu, Mahathir menukar taktik dengan menubuhkan parti Pribumi untuk menjatuhkan Najib dari luar. Dan itu adalah kehendak Najib dan Mahathir kini telah terperangkap.Tengku Razaleigh Hamzah pernah menggambarkan Tun Dr Mahthir Mohamad umpama beruk. Ini adalah kerana, lebih kuat ribut, lebih kuatlah genggaman beruk pada pokok kelapa dan tidak akan jatuh. Bagaimanapun, bila tidak ada angin tidak ada ribut, beruk akan jatuh dengan sendirinya. Jadi, cara untuk menjatuhkan Mahathir, menurut Razaleigh, adalah dengan membiarkannya sahaja dan jangan berlawan dengannya. Dia kemudiannya akan jatuh dengan sendiri tanpa sebarang sebab.

Memanglah ketika itu Tengku Razaleigh sedang melawak dan orang sekeliling gemar akan kenakalannya. Tetapi, Pak Wan, bapa Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pernah berkhidmat untuk Mahathir, berkata yang orang tua itu sukakan kontroversi dan suka berlawan. Jika tiada kontroversi atau sebarang pertelingkahan, dia akan menjadi bosan dan seterusnya cuba memulakan perbalahan. Mahathir tidak boleh bertahan lama tanpa terlibat dengan sebarang jenis pertelingkahan.
Inilah wajah sebenar Mahathir, yang pernah digelarkan sebagai ayam sabung. Siapa yang belum pernah dicabar Mahathir?

Mahathir bertelingkah dengan orang Cina pada 1969 (dan kalah pilihan raya umum pada tahun yang sama apabila orang Cina mengundi Yusuf Jawa daripada PAS sebagai pengajaran untuk Mahathir). Mahathir bertelingkah dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman, yang digulingkan pada 1970. Mahathir bertelingkah dengan Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn, dan mengambil alih sebagai Perdana Menteri keempat.

(Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak, meninggal dunia pada tahun 1976 sebelum sempat Mahathir bertelingkah dengannya – jadinya dia bertelingkah pula dengan anak Tun Razak).

Mahathir bertelingkah dengan orang Amerika, British dan Australia, sama seperti yang dilakukan oleh Idi Amin Dada semasa dia memerintah Uganda. Malah, ramai yang menggelar Mahathir sebagai Idi Amin Malaysia, yang mana bukanlah satu pujian memandangkan Idi Amin dikatakan seorang yang gila dan berada di tangga kedua selepas Adolf Hitler.

Mahathir bertelingkah dengan Ketua Hakim Negara dan juga hakim-hakim yang lain. Mahathir bertelingkah dengan Seri Paduka Baginda Agong dan sembilan raja-raja negeri yang lain. Rasanya senarai dengan siapa yang Mahathir tidak bertelingkah adalah lagi pendek berbanding dengan yang dia pernah bersengketa.

Musuh kegemaran Mahathir adalah Singapura. Beliau menggelar Singapura sebagai Israel Asia dan orang Singapura tiada bezanya dengan Yahudi (ya, Yahudi, satu lagi golongan yang dibenci oleh Mahathir). Jadinya, sesiapa yang bertolak ansur dengan Singapura secara automatik menjadi musuh Mahathir (termasuk juga semua Perdana Menteri selepasnya).

Benda yang Mahathir paling benci dalam dunia ini adalah kekalahan. Dia mesti menang dengan apa cara sekali pun, sama ada dengan adil ataupun tidak. Jika dia kalah, dia akan mati, secara literal mahupun kiasan. Bagi Mahathir, kekalahan lebih teruk daripada kematian.

Itulah yang terjadi kini. Mahathir sedang kalah. Dan dia tidak boleh menerima kenyataan itu. Perdana Menteri Najib Tun Razak tahu akan perkara itu. Oleh itu, Najib tahu cara yang terbaik untuk mengecewakan Mahathir. Setiap kali Najib mengecewakan Mahathir, dia akan melenting dan dia akan menjadi gementar.

Ketika dia membuat keputusan untuk menggulingkan Perdana Menteri kelima pada Jun 2006, Mahathir mengambil masa kurang daripada 3 tahun untuk menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi kini telah lebih daripada 3 tahun, dan Najib masih lagi kuat. Bukan itu sahaja, Najib juga kini lebih kuat berbanding sewaktu mula-mula proksi Mahathir bertindak ke atasnya 2 tahun dahulu pada tahun 2014.

Sejak 2 tahun yang lepas pada tahun 2014 sehingga kini, Mahathir masih memperkatakan tentang isu 1MDB, tetapi Najib masih lagi kukuh. Najib sepatutnya jatuh setahun yang lepas pada Julai 2015, tetapi itu tidak berlaku. Nampaknya seperti tidak akan terjadi, tidak kiralah betapa bersungguhnya Mahathir mengungkit isu 1MDB.

Mungkin Mahathir tidak pernah mendengar kata-kata Albert Einstein : “Gila ditakrif sebagai melakukan perkara yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza” (“The definition of insanity is doing the same thing over and over again, but expecting different results”).

Jika isu 1MDB sehingga kini masih lagi tidak mampu untuk menjatuhkan Najib, ia bermaksud isu itu tidak akan menjatuhkan Najib sehingga bila-bila pun. Sesungguhnya sangat jelas sekarang, pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil serentak di Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan bahawa 1MDB tidak boleh melakukan apa yang diharapkan oleh Mahathir. Adakah ianya tidak gila untuk Mahathir melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza?



Mahathir risau ini akan menjadi titik akhirnya. Secara realistiknya, Mahathir tidak mempunyai masa kerana usianya dan juga masalah kesihatannya dan Parti Pribumi barunya juga memerlukan masa untuk membuktikan keberkesanannya – jikalah ianya mampu sekali pun.


Parti Tengku Razaleigh iaitu Semangat 46 mempunyai peluang yang jauh kebih tinggi tetapi walaupun selepas 8 tahun, ianya masih tidak mampu berbuat apa-apa selain menguasai Kelantan. Selepas 8 tahun tidak kemana-mana, akhirnya Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan menyertai semula Umno bersama-sama penyokongnya. Semangat 46 Tengku Razaleigh jauh lebih kuat daripada Parti Pribumi Mahathir.

Sebenarnya, kebimbangan Mahathir sama ada ini mungkin pengakhirannya adalah tidak kena pada tempatnya. Permulaan kepada pengakhiran Mahathir sebenarnya pada tahun 2013 apabila anaknya Mukhriz gagal untuk memenangi jawatan Naib Presiden Umno. Mahathir sepatutnya sedar ketika itu, tetapi dia tidak berbuat demikian, bahawa kegagalan Mukhriz mencerminkan hakikat bahawa era Mahathirisme telah sampai ke penghujungnya.

Sudah tentu, Mahathir menyalahkan Najib kerana kekalahan Mukhriz. Jika Najib telah mengarahkan sepupunya, Hishammuddin Hussein, untuk berhenti maka Mukhriz akan menang tempat ketiga dan bukannya keempat. Tetapi jika seseorang diperlukan untuk menawarkan Mukhriz kemenangan percuma sebelum dia boleh menang, ini bermakna nama Mahathir tidak lagi memberi apa-apa kesan.

Inilah realiti yang patut Mahathir sedar, tetapi tidak. Sebaliknya, dia menyalahkan Najib kerana kekalahan Mukhriz dan bukannya menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah meninggalkan Mahathirisme sebagai nota kaki dalam sejarah.

Oleh kerana kekalahan Mukhriz pada tahun 2013, Mahathir mula merancang serangan ke atas Najib sama seperti bagaimana Jepun merancang serangan ke atas Pearl Harbour. Dan Mahathir akan menggunakan 1MDB sebagai isu serangan hendap. Rancangannya mudah sahaja. Sabotaj IPO dan sekat pinjaman yang diperlukan 1MDB. Tiada syarikat di dunia yang mampu selamat daripada serangan jenis ini.

Ia mungkin kesilapan Najib, sama seperti kesilapan yang dibuat Amerika pada Disember 1941 apabila tidak menjangkakan pengkhianatan Jepun. Najib tidak menjangka akan dikhianati oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Cawangan Khas (SB), Timbalan Perdana Menteri beliau sendiri (Muhyiddin Yassin), Shafie Apdal (Naib Presiden Umno) , Peguam Negara (Gani Patail), T. Ananda Krishnan (yang sedang berurusan dengan 1MDB, termasuklah IPO), dan sebagainya.

Selepas serangan hendap itu – sama seperti selepas serangan hendap Jepun ke atas Pearl Harbour pada Disember 1941 – Najib melakukan serang balas. Sebagai contoh, Khairuddin Abu Hassan, atas arahan Mahathir, membuat laporan polis terhadap 1MDB pada bulan Disember 2014. Dalam tempoh sebulan Khairuddin telah diisytiharkan muflis dan rumahnya telah dilelong. Beliau kemudian hilang kedudukannya dalam Umno Bahagian Batu Kawan.

Tamparan ini ditujukan buat Mahathir dan bukannya pada Khairuddin. Ia adalah untuk menunjukkan bahawa Mahathir bukanlah sekuat yang difikirkan dan dia tidak mampu untuk melindungi orang-orangnya. Najib kemudiannya menyerang Muhyiddin, Gani, Shafie, Mukhriz, dan ramai lagi. Akhirnya, semua orang-orang Mahathir ditumpaskan dengan keadaan Mahathir tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melihat sahaja.

Apabila Mahathir sedar yang perjuangan ini akan menjadi tegang dan akan berakhir dengan kekalahannya sendiri, dia dengan senyap memberitahu Najib yang dia ingin menggantung sementara peperangan mereka pada 20 Januari 2015. Najib bersetuju walaupun para penasihatnya merasakan ianya hanyalah sekadar memberi Mahathir masa untuk merancang strategi seterusnya.

Para penasihat Najib menjangkakan lebih banyak pengkhianatan, tetapi sementara itu, layankan sahaja orang tua itu dan lihat apa yang dilakukannya. Mahathir tidak mahukan peperangan secara terbuka. Dia mahu perang gerila di mana dia boleh membaling batu tetapi tangannya tidak dapat dilihat. Mahathir mahu menampar Najib tetapi dia tidak mahu ditampar kembali. Itulah sebabnya dia perlu menggantung sementara peperangan mereka, untuk merancang langkah seterusnya.

Mahathir sedar bahawa serangannya perlu di lakukan secara senyap-senyap dan bukannya secara terang-terangan. Apabila dia menyerang Tun Abdullah Ahmad Badawi dia melakukannya secara terbuka. Tetapi dia tidak boleh melakukannya untuk kali kedua.

Pertama sekali, dia menyerang Abdullah dan kini dia menyerang Najib. Orang akan berkata masalahnya ialah Mahathir dan bukannya Najib dan Umno akan menyokong Presidennya merangkap Perdana Menteri dan bukannya dia. Jadi perlakuan Mahathir tidak boleh dilihat maka dia perlu menggunakan proksi untuk melawan bagi pihaknya.

Dan yang lebih penting, ia mesti dilihat seperti Umno mahu Najib disingkirkan. Jadi Mahathir memerlukan orang dalam Umno untuk menyerang Najib. Jika pembangkang menyerang Najib maka Umno akan bersatu dan berdiri teguh di belakang Najib. Dan kuasa-kuasa anti-Najib dalam Umno tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang atau dilihat berkhidmat demi kepentingan pembangkang. Ini adalah sangat penting untuk membolehkan plotnya berjaya.

Apabila Tengku Razaleigh, Musa dan sebahagian daripada Umno, iaitu Team B, menentang Mahathir,  maka beliau membalas serangan itu dengan mengharamkan Umno, kemudian membuka parti baru (yang juga dipanggil Umno), dan tidak membenarkan lawannya menyertai parti baru itu.

Oleh itu, Tengku Razaleigh dan pasukannya terpaksa menubuhkan parti mereka sendiri dan terus menyerang Mahathir dari luar Umno atau sebagai sebuah parti pembangkang yang bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain.

Itulah sebabnya Tengku Razaleigh gagal dan selepas lapan tahun, beliau menyerah kalah dan menyertai semula Umno.

Najib, bagaimanapun, jauh lebih bijak. Daripada melakukan apa yang Mahathir lakukan pada 1987-1988, Najib memerangkap Mahathir menyebabkan dia menggelabah sehingga dia sendiri meletakkan jawatan daripada Umno dan menyertai pembangkang. Apabila Mahathir melakukan hal itu, dia akan melakukan harakiri dan tidak akan lagi menjadi ancaman kapada Najib mahu pun Umno.

Dan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dan juga pilihan raya kecil serentak di Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan bahawa Najib adalah betul. Dengan meninggalkan Umno dan dengan bekerjasama dengan pembangkang, Mahathir sudah pasti berada di jalan yang membawa kepada kemusnahan diri.

Apa yang Mahathir tidak sedar adalah dia melakukan sebagaimana yang Najib mahu dia lakukan. Sebab itulah Najib hanya berdiam diri selama dia diserang. Pengkritik Najib mengatakan bahawa Najib mesti bersalah jika dia hanya berdiam diri. Kebenarannya adalah tindakan berdiam diri adalah terbaik untuk Najib dan tidak baik untuk Mahathir. Adakah Jepun membuat bising sebelum mereka menyerang Pearl Harbour? Mereka hanya menyerang tanpa sebarang amaran.

Bagaimanapun, Mahathir bercakap terlampau banyak. Dia juga bersuara sebelum dia bertindak. Pada mulanya, dia berlakon seperti tidak tahu-menahu tentang 1MDB. Menurutnya, apa yang dia tahu hanyalah apa yang dia diberitahu.

Menurutnya, dia menentang Najib kerana terlampau ramai pemimpin Umno yang meminta pertolongannya secara rahsia. Sekarang dia nampak seperti tahu begitu banyak dan memberi sebab-sebab lain mengapa dia bertindak terhadap Najib.

Memandangkan cubaan untuk menjatuhkan Najib dari dalam Umno akan gagal, Mahathir menukar taktik dan kini cuba untuk menjatuhkan Najib dari luar Umno, dengan bantuan pembangkang, seperti apa yang Tengku Razaleigh cuba lakukan selama lapan tahun dan gagal.

Mula-mula Mahathir mendapatkan sokongan pembangkang dengan melancarkan Deklarasi Rakyat (People’s Declaration), dan juga kempen Selamatkan Malaysia (Save Malaysia). Pada permulaannya, ia menerima sambutan yang baik daripada pembangkang yang merasakan mereka boleh menggunakan Mahathir untuk menjatuhkan Umno. Tetapi apabila mereka sedar Mahathir yang cuba untuk menggunakan pembangkang, dan sebenarnya beliau mahu menjatuhkan Umno dan Najib supaya anak lelakinya dapat diselamatkan, pembangkang mula menjauhkan diri.

Kemudian, pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil serentak di Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan Mahathir telah ‘hilang taringnya’. Malah, Mahathir mungkin menjadi liabiliti jika dia dibenarkan menyertai salah satu parti pembangkang.

Pembangkang kemudiannya mengumumkan yang mereka sedia bekerjasama dengan Mahathir jika dia menubuhkan partinya sendiri. Ini cara halus pembangkang untuk menghapuskan Mahathir. Mereka tahu yang jika Mahathir dibenarkan untuk menyertai salah satu parti pembangkang, ia akan membawa kesan yang buruk.

Pembangkang mahu menjauhkan diri daripada Mahathir, tetapi dalam masa yang sama masih dekat kerana beliau mungkin boleh digunakan untuk menjatuhkan Umno. Ianya seperti cuba mendapat kesemua kelebihan yang ada.

Pembangkang tidak pasti sama ada Mahathir boleh membantu mereka ataupun dia akan gagal dan kemudiannya menyebabkan pembangkang gagal bersama. Jadinya, ia lebih baik jika Mahathir mempunyai partinya sendiri daripada menyertai parti pembangkang yang sedia ada. Kemudian, jika parti baru Mahathir tidak berjaya, mereka boleh mebuangnya sama seperti yang mereka lakukan ke atas PAS tidak lama dahulu.

Dan inilah apa yang Najib mahukan. Jika Mahathir dan orang-orangnya menyertai salah satu parti pembangkang, ia akan menjadi situasi yang berbeza. Itu bermakna dia telah diterima. Tetapi jika Mahathir dan orang-orangnya tidak diterima ke dalam pembangkang dan terpaksa menubuhkan parti sendiri, itu adalah situasi yang lebih baik untuk Najib dan Umno. Kronologi Semangat 46 telah membuktikan ini dan tiada siapa yang boleh melawan sejarah.

Parti baru Mahathir hanya mempunyai satu tujuan, iaitu untuk menggulingkan Najib. Persoalannya ialah: apa yang akan mereka lakukan jika dan apabila Najib digulingkan? Memandangkan tujuan Parti Pribumi Mahathir adalah untuk menggulingkan Najib, adakah parti ini akan terus wujud atau adakah ianya akan dibubarkan (seperti Semangat 46 pada tahun 2006) jika dan apabila Najib digulingkan?

Pribumi berharap ia akan dapat bertahan dengan merampas undian daripada Umno. Bagaimanapun, Lim Kit Siang tidak merasakan yang ia akan terjadi. Pribumi sebenarnya ‘memancing dalam kolam yang sama’ dengan pembangkang, bukannya dalam ‘kolam’ Barisan Nasional. Jadinya, setiap undian yang Pribumi dapat menyebabkan satu undian kurang untuk pembangkang.

Pribumi hanyalah sebuah parti politik sama seperti Semangat 46 dan PKR. Umno, bagaimanapun, adalah lebih daripada sebuah parti politik. Ianya sebuah institusi Melayu. Dan itulah yang membezakan Umno dengan mana-mana parti Melayu atau parti dengan asas sokongan daripada orang Melayu.

Sekurang-kurangnya semasa Semangat 46 dan PKR ditubuhkan, mereka berjaya menarik ramai ahli dan pemimpin Umno. Bagaimanapun, Pribumi bergantung kepada sokongan pembangkang. Akan tetapi, terdapat 7 parti pembangkang utama yang juga sedang ‘memancing dalam kolam yang sama’. Di situlah permasalahannya.

Mahathir bukanlah ancaman yang sama seperti tiga tahun yang lepas iaitu 2013. Parti Pribumi barunya memastikan yang Umno setaraf dengan musuh luaran. Apa yang lebih penting adalah hakikat bahawa Mahathir mahupun Umno tidak mempunyai sebarang isu yang boleh digunakan untuk menentang Umno.

Mahathir dan Pribumi hanya mempunyai satu isu, iaitu 1MDB. Mereka berharap isu ini akan menjatuhkan Najib dan Umno. Tetapi jika ianya boleh berbuat sedemikian, tentunya ianya sudah pun terjadi semasa pilihan raya negeri Sarawak atau pun pilihan raya kecil berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ini mengingatkan kepada strategi Mata Lebam pada tahun 1999. Strategi itu hanya elok digunakan untuk satu tahun ataupun bagi satu pilihan raya sahaja. Menjelang 2004, isu itu sudah pun basi. PKR telah pun diberi amaran tentangnya pada 2001 tetapi mereka tidak mengendahkannya. Jadi, pada 2004 mereka dihapuskan kerana mereka masih lagi bercakap tentang Mata Lebam apabila pengundi sudah bosan dengan isu itu.

Adakah Mahathir dan Pribumi akan belajar daripada perkara itu? Atau adakah mereka, bersama-sama dengan PKR dan DAP, akan terus mengetengahkan isu 1MDB yang telah basi dan kemudiannya merana dengan nasib yang sama seperti tahun 2004, pilihan raya umum yang paling teruk bagi pihak pembangkang dalam sejarah Malaysia?

Mahathir perlu sedar yang dia tidak boleh terus memperjuangkan perkara yang sama dan berharap untuk terus kekal relevan dalam tempoh yang lama. Lagu hit pun tidak akan kekal nombor satu dalam carta dalam jangka masa yang lama. Tetapi Mahathir seakan tidak akan menukar agendanya walaupun agendanya sudah lapuk.

Kebiasaannya, jika anda mahu tahu kebarangkalian hasil mana-mana pilihan raya umum, anda akan bertanya kepada ‘bookies’. Sejak 1980-an lagi, kebarangkalian yang diramalkan ‘bookies’ adalah petanda baik untuk mana-mana pilihan raya. Pilihan raya negeri Sarawak dan juga pilihan raya kecil serentak itu juga telah diramalkan dengan tepat oleh ‘bookies’. Dan ramalan ‘bookies’ ke atas Parti Pribumi Mahathir adalah tidak baik. Ia menggambarkan kemungkinan masa depannya.

Dengan kes penceraian Nika Gee bakal diperdengarkan yang melibatkan Muhyiddin, saya tidak fikir masa depan Parti Pribumi Mahathir akan cerah. Pribumi sebenarnya telah diserang sejak desas desus ia akan ditubuhkan lagi.


- Malaysia Today 14 Ogos 2016

Tuduhan tiga pemimpin pembangkang mengenai KWSP sangat berniat jahat...- Rahman Dahlan

Saya terkejut dengan kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh tiga pemimpin pembangkang iaitu, Dr Dzulkefly Ahmad (PAN), YB Wong Chen (PKR) dan YB Teresa Kok (DAP) dua hari lalu.
 
Mereka secara berniat jahat menuduh KWSP kini mengalami masalah kewangan justeru mengiystiharkan kadar dividen yang lebih rendah pada 5.7 peratus bagi 2016 berbanding 6.4 peratus untuk tahun sebelumnya. Tiga ahli politik senior ini juga mendakwa ia adalah berikutan pelaburan KWSP dalam 1MDB dengan secara tidak benar, mendakwa melibatkan nilai RM1.72 bilion.
 
KWSP tidak menghadapi masalah kewangan. Jika ia berada dalam kesulitan itu atau mengalami kerugian, KWSP tidak akan mampu membayar dividen langsung, apatah lagi mengeluarkan dividen 5.7 peratus bagi 2016.
 
Sebagaimana sudah dijawab di Parlimen pada Mei 2015, pendedahan KWSP kepada 1MDB adalah RM200 juta, dan bukannya RM1.72 bilion. Pelaburan ini adalah dalam bentuk Sukuk 30 tahun yang dikeluarkan pada 2009 dan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
 
Bagi memperjelaskan selanjutnya, pendedahan KWSP juga adalah bagi dua bon RM1.5 bilion untuk dua loji Pengeluar Tenaga Persendirian (IPP) iaitu Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd (JEV) . Bon ini dibeli oleh KWSP masing-masing pada tahun 2003 dan 2005 sebelum 1MDB diwujudkan dan turut disokong oleh aliran tunai yang kukuh.
 
Sebagaimana diketahui umum, kedua-dua IPP ini telah dibeli oleh 1MDB baru-baru ini dan sejak itu sudah dijual melalui satu urusniaga yang dilengkapkan pada Mac 2016, sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB. Maka, kedua-dua bon itu tidak lagi berkait dengan 1MDB lagi.
 
Ketiga-tiga bon ini adalah bon perolehan tetap yang membayar kupon tetap dan tidak pernah tertunggak. KWSP tidak pernah mengalami kerugian daripadanya.
 
Sebagai tambahan, pendedahan KWSP kepada Sukuk RM200 juta yang dijamin kerajaan adalah hanya 0.02 peratus daripada keseluruhan aset KSWP iaitu RM731 bilion.
 
Lanjutan itu, dakwaan ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu yang mendakwa KWSP menghadapi masalah kewangan atau 1MDB menyebabkan kerugian kepada KWSP adalah tidak benar dan berniat jahat.
 
Sebagai bekas dan Ahli Parlimen yang masih berkhidmat, ketiga-tiga pemimpin pembangkang ini gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk berlaku jujur kepada rakyat apabila membuat tuduhan mengarut seumpama itu dalam kenyatan bersama itu. Mereka seharusnya tidak mengulangi tindakan seumpama ini pada masa akan datang.
 
Mengambil kira pembayaran dividen sejak 2000, situasai ekonomi serantau dan global masakini serta prestasi tabung kewangan pekerja serta dana bersama lain di rantau ini, pemberian 5.7 peratus oleh KWSP harus diberi pujian.
 
Bagi tempoh sembilan tahun dari 2000 hingga 2008, KWSP telah merekodkan kadar pembayaran dividen purata sebanyak 4.99 peratus di mana dari tahun 2009 hingga 2016, purata ini meningkat kepada 6.1 peratus.
 
Saya yakin dengan pertumbuhan positif KDNK bagi tempoh dua suku tahun sebelum ini serta lonjakan terhadap indeks Bursa Malaysia, Insha Allah, prestasi KWSP akan bertambah baik bagi tahun 2017.
 
Abdul Rahman Dahlan
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional
24 Februari 2017

TEAM JOHOR

Tiada seharinya berlalu tanpa kita memikirkan tentang pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor. Dan ia hanya dapat dilakukan dengan jalinan muafakat serta usaha bersama semua pihak, sebagai satu pasukan.  Sebagai TEAM Johor.
Sejak terdirinya kerajaan negeri lebih seabad yang lalu, ia terus menikmati kemajuan dan pembangunan.  Ekonominya terus pesat berkembang.
Segalanya dicapai hasil muafakat Bangsa Johor yang terkenal dengan sikap toleransi di kalangan rencam latar masyarakatnya dan kegigihan usaha rakyatnya bagi mensejahterakan negeri.
Justeru, usaha memupuk dan memastikan segalanya terus kekal dan berkembang, dilaksanakan di atas landasan Muafakat Johor.
Menerusi semangat permuafakatan, saling faham-memahami di antara satu sama lain dan meraikan perbezaan dalam semangat harmoni serta tanpa kecenderungan polarisasi.
Pada masa yang sama, kita juga mahu negeri ini terus mengecapi kejayaan dan kemajuan.
Kejayaan dan kemajuan yang tidak sekadar berlatarkan bangunan dan prasarana serba canggih tetapi Johor Berkemajuan dengan acuannya yang tersendiri.
Ini kerana, tiada maknanya segala kemajuan itu tanpa kita lengkapi Bangsa Johor dengan identiti masyarakat yang maju sudut pandang serta pemikirannya.
Atas sebab itu jugalah, kita wajar melontarkan pertanyaan berikut, siapakah akan menjayakan cita-cita murni sebuah Johor Berkemajuan berlandaskan semangat Muafakat Johor?
Menyandarkan segalanya itu kepada bahu kerajaan semata-mata tidak akan memungkinkan impian itu tercapai.
Ia memerlukan penggemblengan tenaga, usaha dan kudrat setiap lapisan masyarakat, yang mendukung aspirasi Johor Berkemajuan.
Ia menuntut kita semua untuk mengambil sikap dan peranan aktif dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah memajukan Johor.
Ia memupuk rasa kepunyaan kepada sekeping tanah yang bertuah dan satu-satunya Jauhar kepunyaan kita.  Agar kita jadi masyarakat dan negeri yang terbaik lagi berjaya.
Maka atas sebab itulah, kita semua berkongsi tanggungjawab dan kepunyaan yang sama, sebagai sebuah TEAM Johor.
TEAM Johor yang tiada menunjangi perbezaan status kehidupan, kedudukan sosial dan taraf pendidikan.
Kerana walau di mana sekalipun kita selaku Bangsa Johor berada, kita tetap berpeluang menyumbang kepada kemajuan negeri dan seluruh isinya.
Sebagai sebuah pasukan yang sama, setiap seorang dari kita mesti bertindak dan menjalankan peranan masing-masing demi kebaikan semua.
Kitalah pencipta, pendukung, penggerak dan pemain dalam pasukan ini.  Kitalah nadi dan jiwa kepada TEAM Johor.
Bersamalah kita bulatkan tekad serta iltizam, terus gigih berusaha dan bingkas memberikan sebanyak-banyaknya kebaikan dan kemakmuran kepada tanah bernama Johor ini.
Agar ia lebih makmur dan harmoni.  Menjadi kuasa ekonomi unggul hari ini dan berdekad-dekad lagi.  Menjadi negeri yang terus disegani dan dihormati
Ayuh TEAM Johor! Bersama-sama kita tempa kejayaan ini. – Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor.