Followers

Tuesday, February 28, 2017

Orang Cina tanpa Umno


Umno bendera




TIDAK dinafikan bahawa Umno menjadi tonggak dalam menuntut kemerdekaan daripada British agar menyerahkan semula kuasa pentadbiran kerajaan kepada rakyat. Tetapi ini adalah berlainan sekali dengan orang bukan Melayu khususnya Cina. Pada awal kemerdekaan orang-orang Cina bersetuju dengan syarat kewarganegaraan yang ditukar dengan hak istimewa orang Melayu. Apabila negara ini mencapai kemerdekaan, syarat persetujuan tersebut menjadi duri dalam daging kepada Umno.

Pertikaian mengenai hak istimewa orang Melayu pada awal tahun 60-an selepas merdeka masih berada dalam kawalan. Ini disebabkan terdapat persetujuan bersama dalam penguasaan bidang. Orang Melayu dibenarkan menguasai kerajaan sementara orang Cina diberikan hak penguasaan dalam perdagangan dan perekonomian. Malahan sistem sekolah vernakular masih diteruskan dengan dua cabang berlainan oleh kerajaan. Satu adalah menggunakan sistem sekolah kebangsaan dengan keutamaan bahasa kebangsaan, manakala satu lagi menggunakan sekolah jenis kebangsaan iaitu keutamaan ke atas bahasa Cina dan Tamil.

Menjelang pertengahan 60-an, pertikaian dan ketegangan mulai kedengaran. Menurut Ooi Kee Beng (2015), Lim Kit Siang dalam satu kempen Pilihan Raya Umum 1964 mengatakan MCA tidak serius memperjuangkan bahasa Cina untuk diberikan hak yang sama rata dengan bahasa kebangsaan. Malahan Lim Kit Siang mengatakan Parti Perikatan yang diketuai Umno melaksanakan dasar perkauman dalam bidang pendidikan. Kit Siang mengatakan Umno mengutamakan pendidikan kaum Bumiputera, khususnya pengajian tinggi. Ini menyebabkan orang bukan Melayu khususnya, ditindas dan tidak diberikan hak yang sewajarnya sebagai warganegara Malaysia. Beliau mempertikaikan konsep Bumiputraisme yang digunakan Umno sebenarnya memecah-belahkan masyarakat Malaysia kepada dua kelompok kelas warganegara. Bumiputraisme sebenarnya tidak patut diasaskan kerana seperti mana dalam perjanjian kemerdekaan negara cuma menyatakan bantuan hak istimewa Melayu hanya diberikan kepada mereka yang memerlukan dan bukan semua orang Melayu.

Bagi penyelesaian permasalahan ini, kerajaan pimpinan Tunku telah melonggarkan kemasukan pelajar-pelajar dari aliran Cina ke pengajian tinggi awam. Ini disebabkan Laporan Rahman Talib telah melonggarkan pengiktirafan ke atas bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang menyebabkan kedua-dua aliran tersebut mendapat bantuan kerajaan. Walaupun begitu, kerajaan pimpinan Tunku masih membenarkan aliran sekolah jenis kebangsaan berfungsi secara bersendirian tanpa mencampuri urusan silibus pendidikannya.

DAP juga mempertikaikan hasrat MCA untuk menubuhkan Universiti Nanyang jika bahasa Cina pun tidak mampu dipertahankan apatah lagi pendidikan Cina. Ini boleh dilihat dengan kenyataan Tun Tan Siew Sin yang tidak lagi mahu menuntut bahasa Cina diiktiraf sebagai bahasa pengantar pada tahun 1959. Tun Tan Siew Sin yang lebih mementingkan pendidikan orang Cina daripada pendidikan bahasa Cina telah dikecam DAP. Ini menyebabkan DAP tidak sesekali bergabung masuk ke dalam Barisan Nasional (BN). Malahan DAP telah mengambil pendekatan untuk menentang Umno yang dianggap mengamalkan demokrasi rasis.
Walaupun begitu, Umno di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir telah meluluskan kemasukan pelajar-pelajar bukan Melayu khususnya pelajar-pelajar Cina ke universiti awam berdasarkan merit. Kelonggaran turut diberikan kepada pelajar-pelajar aliran jenis kebangsaan untuk memasuki universiti awam bagi kursus-kursus Bahasa Mandarin dan Tamil.

Hubungan yang rapat antara MCA, Gerakan dan Umno sebenarnya membuahkan hasil yang menguntungkan etnik Cina. Antaranya penubuhan dan pengiktirafan Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR). TAR ditubuhkan sebagai satu alternatif bagi generasi muda etnik Cina untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Malahan, semasa tahun 90-an, MCA telah berjaya mendapatkan hak perekonomian dan pendidikan yang lebih luas. Hal ini dibuktikan dengan hubungan negara China melalui Dasar Pandang Ke Timur telah menyebabkan ramai usahawan Cina menjadi jutawan segera. Melalui fasa kedua Dasar Pandang Ke Timur dengan China oleh Datuk Seri Najib telah melakar satu perkembangan positif dalam keusahawanan komuniti Cina Malaysia dan memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Semakin kuat desakan Cina ke atas Umno, semakin banyak pemberian Umno tanpa disedari orang Cina. Mahu tidak mahu, sememangnya orang Cina memerlukan Umno bukan sahaja orang Melayu, khususnya dalam bidang pendidikan, perdagangan dan perekonomian.

DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH

No comments:

Post a Comment